PKMM Sabah

Teks Ucapan YDP

 
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kita kekuatan di Negeri Sabah di Bawah Bayu ini untuk sama-sama berjuang secara kolektif bagi memastikan kontraktor bumiputera dan pemain-pemain utama di dalam industri binaan di Negeri Sabah ini dapat berkumpul di bawah satu persatuan yang sangat tersusun iaitu Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sabah. Alhamdulillah, dengan sokongan Dato’ Mohktar Bin Samad selaku Presiden PKMM Malaysia dalam memberi kepercayaan kepada PKMM Sabah untuk mara ke depan dengan menyuntik semangat untuk mentadbir persatuan pada tahap yang membanggakan. Tunjuk ajar Datuk Wira Hj Jamaludin Hj Abdul Rahim selaku Setiausaha Agung Persatuan PKMM Malaysia yang tidak pernah berputus asa memberi tunjuk ajar dalam urusan pentadbiran PKMM Sabah supaya lebih mapan. 
 
Wadah berpersatuan ini dilihat sebagai tindakan yang terbilang untuk memastikan golongan kontraktor Bumiputera Sabah/ Melayu Sabah senantiasa kekal relevan walaupun dalam suasana ekonomi yang tidak menentu kerana suara berpersatuan dan pandangan – pandangan dari persatuan dipandang serius oleh pihak yang berwajib bagi memastikan matlamat agenda Pembangunan Bumiputera mencapai objektifnya.
 
Oleh yang demikian, pentingnya untuk kita semua bersatu hati, meningkatkan usaha dan beriltizam dalam menjamin masa depan persatuan supaya kita dilihat sebagai entiti yang matang dan berwibawa dalam membimbing pasukan kita kearah kecermerlangan seterusnya mendokong pembangunan Negara. Semua ini mustahil untuk dijadikan kenyataan tanpa penglibatan Ahli Jawatankuasa Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sabah yang tidak putus putus menyatakan sokongan dan harapan serta titik peluh bagi merealisasikan agenda pembangunan Kontraktor Bumiputera / Melayu Sabah. Setinggi – tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua yang menyokong dan memberikan semangat dalam perjuangan ini. 
 
Arus modernisasi dilihat sebagai kelebihan kepada kita anak – anak muda yang berjiwa besar dan senantiasa menyokong kemodenan yang telah dikecapi. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk senantiasa berinovasi mencari kaedah-kaedah yang memudahkan kita dalam menjalankan tanggungjawab sebagai kontraktor, usahawan dan pembekal supaya objektif kualiti turut dikecapi. Apabila perkara – perkara asas telah dicapai seperti, penambahan ilmu kemahiran asas, berinovasi dan peningkatan kualiti, kepercayaan klien akan bertambah, keyakinan kerajaan kepada kita akan meningkat seterusnya keupayaan dan kapasiti kita juga akan turut meningkat untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
 
Akhir kata, marilah bersama-sama bekerja dan berusaha demi masa depan Persatuan dan Negaraku Malaysia. 
 
 
Selamat Bersidang,
 
Mohd Nasruddin Datuk Dr Mohd Yaakub
YDP Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sabah