PKMM Sabah

PKMM sampaikan bantuan banjir

Asharul (tengah) bergambar kenangan dengan Kasma sekeluarga ketika menyampaikan sumbangan daripada PKMM Kelantan.

GUA MUSANG - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kelantan juga tidak ketinggalan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir melalui program pasca banjir, kelmarin.

Pengerusi PKMM Cawangan Gua Musang, Asharul Uji memaklumkan, PKMM Kelantan memberikan bantuan mengikut kemampuan dan dalam kadar yang tidak seberapa.

"Bagaimanapun kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban perbelanjaan mangsa banjir, walaupun tidak semua terpilih untuk menerima bantuan yang disampaikan.

"Kita beri keutamaan kepada ahli PKMM yang terbabit dalam kejadian banjir besar akhir Disember lalu dan berharap agar mangsa banjir tidak terpilih jangan berkecil hati," katanya ketika menyampaikan bantuan tersebut mewakili Yang Dipertua PKMM Kelantan, Datuk Haji Mohd Rosdi Ab Aziz.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Kasma Che Mahmood, 44, dari Kampung Lembaga, dekat sini, berkata, dia tidak menduga namanya turut tersenarai sebagai penerima bantuan berkenaan.

Katanya, dia amat terhutang budi dengan PKMM Kelantan yang begitu prihatin dengan keperitan hidup dialami mangsa banjir sepertinya.

"Saya ucap terima kasih kepada pihak berkenaan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menghulurkan sumbangan sebelum ini.

"Kami berbesar hati apabila dikunjungi pelbagai pihak kerana ia dapat mengubati kesedihan yang dialami. Hanya ALLAH SWT dapat membalas segala jasa-jasa mereka kepada kami semua," katanya.

 

Sumber: Sinar Harian